BUTTERWORTH, 27 September 2026, All Malaysian Indian Progressive Front (IPF) memohon untuk menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN), dengan Pulau Pinang sebagai langkah permulaan sebelum usaha itu dibawa ke peringkat nasional.
Presiden IPF, Datuk T. Loganathan berkata permohonan itu dibuat berdasarkan kesetiaan berterusan parti berkenaan kepada BN, termasuk selepas kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Beliau berkata IPF kekal bersama BN walaupun beberapa parti komponen lain meninggalkan gabungan berkenaan selepas PRU14.
Loganathan berharap permohonan itu mendapat pertimbangan sewajarnya, selain meminta BN memberi peluang kepada IPF bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri yang sesuai dan mempunyai potensi kemenangan.
Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata beliau akan membawa permohonan tersebut ke Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebelum dikemukakan kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN.
Menurutnya, IPF Pulau Pinang antara organisasi yang aktif menyokong BN, termasuk ketika pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri.
-BERNAMA