KRW FC Intai Penjaga Gol Tempatan, Pemain dari Jepun

KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) sedang meneliti peluang mendapatkan khidmat seorang penjaga gol tempatan dan pemain dari Jepun bagi memperkukuh skuad pada jendela perpindahan kedua Liga Super musim ini.

Ketua jurulatih KRW FC, Irfan Bakti Abu Salim, berkata kedua-dua pemain itu sedang dipertimbangkan, namun sebarang keputusan untuk membawa masuk pemain baharu masih tertakluk kepada kelulusan pihak pengurusan kelab.

Menurutnya, penjaga gol yang dikenal pasti pernah beraksi dalam Liga Super, manakala pemain Jepun berkenaan mempunyai pengalaman bermain di Singapura.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super menentang Star City FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan pemain baharu berdepan kekangan susulan tunggakan gaji pemain terdahulu yang dianggarkan antara RM1.5 juta hingga RM1.7 juta.

Irfan Bakti berkata pihak pengurusan sedang berusaha mendapatkan dana untuk menyelesaikan tuntutan berkenaan, yang menyebabkan kelab berdepan sekatan pendaftaran pemain baharu.

Beliau berkata penambahan pemain amat diperlukan, khususnya di bahagian tengah dan pertahanan, selepas pasukan itu mengalami kekalahan berturut-turut dengan jumlah bolos yang tinggi.

Menurutnya, kelemahan dari segi fizikal dan pertahanan bola udara antara aspek yang perlu diperbaiki selepas KRW FC dibolosi tiga gol menerusi sepakan penjuru dalam perlawanan terbaharu.

Dalam perlawanan itu, KRW FC tewas 2-5 kepada Star City FC di laman sendiri.

Related News