KOTA KINABALU 13, October 2026, Penggiat seni dan industri kreatif Sabah digesa memanfaatkan peruntukan lebih RM130 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, berkata peruntukan Kerajaan Persekutuan itu memberi peluang kepada penggiat tempatan menghasilkan karya berkualiti, meningkatkan profesionalisme serta menembusi pasaran lebih luas.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH), yang diketuai pengerusinya, Chester Pang, di Menara Kinabalu baru-baru ini.
Joniston turut berharap Belanjawan Negeri Sabah 2027, yang dijadual dibentangkan pada November ini, akan memberi perhatian kepada pembangunan industri seni dan kreatif negeri.
Dalam pertemuan itu, KREATIF SABAH membentangkan dua cadangan utama, iaitu penubuhan Hab Kreatif Bandaraya Kota Kinabalu (KKCity C-Hub) dan Orkestra Bandaraya Kota Kinabalu (OBKK).
Gabungan yang menghimpunkan 11 persatuan seni dan kreatif itu berpotensi menjadi penghubung antara penggiat industri dengan kerajaan, selain membantu mengenal pasti keperluan serta menyelaraskan usaha pembangunan sektor berkenaan.
Inisiatif itu juga dijangka menyokong Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), khususnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan serta meningkatkan sumbangan industri kreatif kepada ekonomi negeri.
KREATIF SABAH berharap pertemuan itu menjadi asas kepada kerjasama berterusan bagi memperkukuh ekosistem seni dan kreatif di Sabah.
-MINUTESMY