PDRM Tumpas Sindiket Pusat Panggilan Scam, 74 Warga Asing Ditahan

KUALA LUMPUR, September 29 2026,  Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pusat panggilan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian dan penipuan, selepas menahan 74 warga asing dalam Ops Dadu Khas di sekitar ibu negara semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata operasi serentak di lapan premis kediaman itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Beliau berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 67 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun, termasuk 61 warga China, 12 warga Vietnam dan seorang warga Taiwan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lapan premis berkenaan dipercayai digunakan bagi mempromosikan perjudian dalam talian, penipuan cinta serta penipuan pelaburan tidak wujud, selain dijadikan tempat penginapan pengendali pusat panggilan.

Polis turut merampas pelbagai peralatan elektronik yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan, termasuk komputer, komputer riba, modem dan telefon bimbit.

Selain itu, polis merampas lima biji pil kemerahan disyaki Yaba seberat 0.8 gram serta 5.72 gram serbuk dan serpihan kristal disyaki methamphetamine.

Susulan serbuan, lapan kertas siasatan dibuka mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Kanun Keseksaan serta Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

PDRM menegaskan usaha membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen akan terus dipergiatkan dengan kerjasama pelbagai agensi dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

-BERNAMA

Related News