KUALA LUMPUR: Pas menerima hakikat bahawa Barisan Nasional (BN) akan terus menerajui pentadbiran Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 14 November ini, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata Pas mengiktiraf kedudukan BN sebagai peneraju negeri itu dan akan berusaha mengekalkan kerjasama politik antara kedua-dua pihak.
“Untuk maklumat awal, kita terima hakikat Melaka dipimpin oleh Barisan Nasional,” katanya pada sidang media sempena International Summit 2026 di Kuala Terengganu, semalam.
Mengulas persiapan menghadapi PRN, Abdul Hadi berkata sebahagian besar rundingan pembahagian kerusi telah selesai, namun keputusan mengenai calon yang akan bertanding masih belum dimuktamadkan.
Menurutnya, senarai calon Pas perlu mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama sebelum keputusan akhir dibuat oleh kepimpinan Pas Pusat.
“Sebahagian besar sudah selesai dibincangkan. Tinggal tunggu masa dan kita ada senarai calon-calon yang mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dan siapa yang bertanding akan ditentukan oleh Pas Pusat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi mengesahkan bahawa keputusan mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau masih belum dibuat. Kerusi itu kini disandang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas akan bertanding di kerusi berkenaan sekiranya Muhamad Akmal tidak mempertahankannya.
Sebelum ini, Muhamad Akmal dilaporkan memberi bayangan bahawa beliau mungkin tidak akan mempertahankan kerusi DUN Merlimau pada PRN kali ini. Turut timbul dakwaan bahawa kerusi itu bakal diberikan kepada Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail.
Mengenai penggunaan lambang pilihan raya, Abdul Hadi berkata Pas bersedia menggunakan simbol partinya sendiri sekiranya lambang Perikatan Nasional (PN) tidak dapat digunakan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perkara itu bergantung pada keputusan mahkamah.
Menurutnya, lambang Pas dan PN sudah dikenali ramai, termasuk dalam kalangan pengundi muda dan pengundi baharu.
Abdul Hadi menegaskan bahawa Pas akan terus berusaha mengekalkan kerjasama politik dengan BN, termasuk dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
-AWANI