Agong Perkenan Najib Jalani Baki Hukuman Secara Tahanan Rumah Hingga Ogos 2028

KUALA LUMPUR, 18 September2026, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.

Bagaimanapun, pengampunan tersebut tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh tahanan di rumah.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, kegagalan mematuhi mana-mana syarat boleh menyebabkan pengampunan itu terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukuman di penjara.

Keputusan berkenaan dibuat selepas permohonan pengampunan Najib ditangguhkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 pada 11 September lalu.

Sebelum ini, pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

-BERNAMA

Related News